Monday, June 1, 2009

Search & Celcom: Gabungan Hebat

MENJANGKAU usia 28 tahun penubuhan Search, hakikatnya taring ikon rock ini tidak pernah tumpul dimamah keringat usia. Walaupun kali terakhir mereka mengadakan konsert jelajah seluruh tanah air adalah pada tahun 1992 sebelum disusuli konsert Rock Revolusi di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur 12 tahun kemudian, namun baranya terus membakar sehingga hari ini. Peminat dan penyokong setia Search juga tidak pernah berkurangan walaupun sebahagian besar usia peminat setianya mungkin sudah mencecah usia separuh abad. Malahan, peminat Search semakin bertambah dari semasa ke semasa apatah lagi di kalangan remaja hari ini, Search tetap ikon rock sejati.

Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru yang dibawa khas oleh Celcom (M) Berhad di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2 Mei lalu jelas menunjukkan peminat Search masih dahagakan persembahan energetik mereka. Sambutan luar biasa yang diberikan peminat jelas menunjukkan bara Search tidak pernah terpadam. Apa tidaknya, dalam suasana hujan lebat yang turun sebelum konsert bermula sehinggalah satu setengah jam kemudiannya, lebih 7,000 peminat fanatik Search langsung tidak berganjak dari tempat mereka berdiri untuk menikmati alunan muzik rock live yang sekian lama dinantikan.

Mesej itu memang jelas membuktikan bukan sahaja peminat di Pulau Pinang dan Utara Semenanjung sahaja yang menantikan konsert Search, malah ramai lagi peminat setia kumpulan itu dari seluruh negara mempunyai gelodak perasaan yang sama.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, kekecewaan mereka selepas hasrat untuk mengadakan konsert meraikan ulang tahun ke-25 Search tidak kesampaian tiga tahun lalu terubat apabila Celcom menawarkan diri menjadi penaja untuk konsert kali ini. "Saya bersyukur dengan rezeki ini (kerjasama dengan Celcom) dan saya juga teruja untuk bekerjasama dengan jurutera bunyi dari Indonesia. "Ternyata sambutan yang diberikan oleh peminat pada konsert sulung kami ini amat mengharukan. Ia juga menunjukkan mereka memang benar-benar dahagakan persembahan live daripada Search," katanya ketika ditemui selepas tamat persembahan.

Konsert sulung dalam siri jelajah itu bermula dengan penampilan, anak sulung Amy, Nabila Huda sebagai pengantara pada pembuka tirai persembahan. Tepukan dan sorakan gemuruh para peminat Search mula bergema apabila Amy, Yazid, Nasir, Hillary dan Nordin muncul di pentas mengalunkan lagu Derap Komando sebagai pembuka tirai persembahan malam itu.

Memang tidak dinafikan, magis yang ada pada Amy dan ahli kumpulan Search memang sentiasa memukau sesiapa sahaja yang menonton persembahan Search secara live. Malah, sejak mula Search terjun ke dalam arena muzik rock tanah air pada 1981 sehingga kini, suara Amy tetap tidak berubah walaupun kini penyanyi rock nombor satu itu sudah bergelar bapa kepada empat cahaya mata, dan mungkin bertambah kepada lima selepas tamat konsert jelajah kali itu.

Dengan gabungan muzik rock yang begitu bertenaga oleh Yazid, Nasir, Hillary dan Nordin, ia cukup berkesan untuk membuatkan jantung setiap peminat yang berada di hadapan pentas berdegup lebih pantas seiring dengan muzik yang dimainkan. Tidak kurang juga sistem audio yang begitu baik sehingga mampu menambahkan gelodak yang ada di dada setiap peminat yang hadir pada malam itu. Ditambah pula dengan teknik persembahan lampu limpah yang dibawa khas dari negara jiran Indonesia, ia diatur begitu rapi untuk senada dengan setiap lagu yang dinyanyikan, lantas menambahkan lagi kekuatan persembahan Search malam itu.

Sepanjang mendendangkan 19 lagu popular mereka, ternyata karisma yang ada pada kumpulan Search masih mampu memukau sesiapa sahaja. Malah, setiap kali Amy mendendangkan lagu seperti Fenomena, Karisma, Rampage, Gema di Timur Jauh, Rock N Roll Pie, Selepas Banjir dan Gothik Malam Edan, peminat turut bersama-sama mengalunkan seni kata lagu-lagu tersebut. Ia jelas menunjukkan lagu Search tidak pernah padam dalam ingatan mereka. Lebih-lebih lagi apabila Amy mendendangkan lagu keramat mereka, Fantasia Bulan Madu dan Isabela pada babak-babak akhir persembahan. Ternyata sambutan yang diberikan penonton malam itu sama seperti ketika lagu berkenaan mula-mula dipopularkan pada 1987 dan 1989.

Menurut Amy lagi, konsert adalah cara terbaik bagi kumpulan itu untuk berterima kasih kepada peminat yang setia menyokong Search sepanjang 28 tahun lalu. "Kepada peminat Search di seluruh negara, pastikan kita terus 'Phewiiittt'," katanya sambil membunyikan isyarat bunyi siulan signatur untuk dirinya itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, pihaknya membawakan konsert jelajah Search ke seluruh negara sebagai satu cara untuk menghargai jasa kumpulan itu dalam industri muzik tanah air. "Celcom sangat berbangga kerana dapat membawa Search lebih dekat dengan peminat mereka dan kami yakin konsert jelajah ini akan melonjakkan lagi kerjaya muzik mereka," katanya.

Selepas Seberang Jaya, Search bersama Celcom akan terus menjelajah ke 10 lagi destinasi di seluruh negara dengan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi lokasi penutup siri konsert jelajah itu.

Jadual Konsert Search Di Awan Biru

# 2 Mei 2009 : Tapak Expo, Seberang Jaya, Pulau Pinang
# 9 Mei 2009 : Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru
# 16 Mei 2009:Stadium Mini Jengka, Pahang
# 22 Mei 2009: Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu
# 29 Mei 2009: Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah
# 5 Jun 2009 : Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kelantan
# 27 Jun 2009 : Stadium Perpaduan Kuching, Sarawak
# 4 Julai 2009 : Stadium Tertutup Miri, Sarawak
# 11 Julai 2009 : Kompleks Sukan Sandakan, Sabah
# 18 Julai 2009 : Kompleks Sukan Tawau, Sabah
# 1 Ogos 2009 : Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor.

Berita dipetik dari akhbar Kosmo

1 comments:

  1. Search And Celcom: Gabungan Hebat ~ Triple As Trading >>>>> Download Now

    >>>>> Download Full

    Search And Celcom: Gabungan Hebat ~ Triple As Trading >>>>> Download LINK

    >>>>> Download Now

    Search And Celcom: Gabungan Hebat ~ Triple As Trading >>>>> Download Full

    >>>>> Download LINK

    ReplyDelete